Jika boleh, jangan menghukum, sebaliknya mengajar. Matlamat mendisiplinkan anak ialah untuk mengajar anak itu berkelakuan baik. Memukul kanak-kanak bukanlah cara mengajar. Sebaliknya ia mengajar kanak-kanak bahawa memukul ialah cara menyelesaikan masalah.
Anggaplah kenakalan anak-anak sebagai kesilapan. Ia akan memudahkan anda mencari jalan untuk mengajar tentang kelakuan baik.
Jika boleh, kaitkan akibat dengan kenakalan. Jika anak membuat sepah, dia harus mengemasnya semula.
Buat peraturan, tetapi pastikan ia tidak terlalu banyak, berpatutan dan sesuai dengan umur dan perkembangan kanak-kanak itu.
Pastikan akibat dari kenakalan adalah berpatutan dan jelas.
Jangan bertengkar atau membebel mengenai peraturan. Jika sesuatu peraturan dilanggar, ingatkan anak anda mengenai peraturan itu dan akibatnya jika tidak dipatuhi. Apabila anda memberikan arahan, bercakap dengan tegas dan ulangi arahan itu.
Jika anak anda mempunyai banyak sikap yang tidak disukai, jangan cuba untuk mengubah kesemuanya sekaligus. Pilih satu sikap, terangkan mengapa sikap itu mendatangkan masalah, berikan akibat daripada kenakalan dan puji sikap yang sebaliknya.
Halang anak-anak kecil semasa mereka sedang membuat sesuatu yang anda tidak sukai atau jauhkan mereka dari situasi tersebut. Anak-anak kecil tidak faham apa yang salah dan apa yang betul, dan mereka tidak sepatutnya dipukul atau digoncang.
Gunakan bahasa yang sopan semasa bercakap dengan kanak-kanak mengenai kelakukan meereka. Pastikan anda gunakan perkataan seperti Maafkan saya dan Bolehkah saya? bila sesuai. Jadilah contoh yang baik untuk anak anda di dalam percakapan dan perbuatan anda.
Puji anak anda bila mereka berkelakuan baik kerana ini akan menggalakkan mereka terus berkelakuan baik. Pelukan, senyuman dan perkataan-perkataan lembut boleh digunakan untuk menunjukkan penghargaan.
|